Insan yang tidak cukup ilmu…..

Cetusan Idea….Berkongsi Idea… Amalkan Bersama

Selagi Nadi Masih Berdenyut

Posted by iorichee on 21 April 2009

 

 Dia berdiri di halaman rumah sambil mendongak ke langit. Hatinya sayu bila melihat awan mendung masih menebal menabiri angkasa jagat raya. Sudah satu minggu hujan turun dan selama itulah matahari berwajah suran. Cahayanya tidak mampu menembusi awan mendung di dada langit. Dan pada pagi hari Ahad itu, hujan turun lagi bermula dengan renyai-renyai kemudian semakin lama semakin lebat. Dia merasa kecewa tetapi tidak sampai berputus asa.
Rezeki ada di mana-mana. Begitu kata hati kecilnya. Ulat dalam batu lagikan boleh hidup, inikan pula manusia yang melata di muka bumi. Dia sedar, yang bulat tidak akan datang menggolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Dia pun bertekad; “Selagi nadiku masih berdenyut, aku akan berusaha.”
Dia yakin kedatangan musim hujan bukan bermakna pintu rezekinya tertutup. Walaupun dia tidak boleh menoreh kerana pokok getah basah, dia masih boleh mencari rezeki dengan cara yang lain. Dia boleh memancing ikan di sungai atau mencari pucuk paku, atau paling tidak mencari rebung untuk dibuat gulai. Dia yakin anak-anaknya tidak akan kebuluran dan persekolahan anak-anaknya tidak akan terbantut.


” Mak tidak dapat menoreh hari ini?” suara Nadia anak sulungnya yang sedang belajar dalam tingkatan enam atas itu menyapa telinganya.
” Tidak,” jawabnya sepatah..
” Pokok getah basah. Macam mana mak nak menoreh,” Mazni anaknya yang nombor dua pula menyampuk.
“Hujan itu membawa rahmat,” balasnya. ” Kalau hujan tidak turun, bumi akan kering kontang. Tumbuh-tumbuhan akan mati. Kita juga akan mati kerana kehausan.”.
” Kasihan Mak. Kalaulah ayah ada…” kata Mazni pula.
Hatinya sayu mendengar kata-kata Mazni. Dia mendekati Mazni lalu memeluknya.
” Allah Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selagi nadi mak masih berdenyut, mak akan berusaha,” dia cuba meyakinkan anak-anak kesayangannya.
Nadia duduk termenung menupang dagu di muka tangga. Sebagai seorang ibu yang akrab dengan anak-anak, dia tahu apa yang sedang melanda fikiran anaknya. Tambahan pula anak-anaknya tidak segan silu menceritakan apa sahaja masalah mereka. Sejak suaminya meninggal dunia kira-kira setahun yang lalu, hubungan dia dengan anak-anak semakin akrab. Dialah ayah dan dialah ibu kepada anak-anaknya.
” Mak, macam mana dengan duit peperiksaan Nadia?. Tempoh bayarannya cuma satu minggu sahaja lagi. Jika tidak dapat membayarnya, Nadia tidak boleh menduduki peperiksaan,” Nadia meluahkan apa yang tersirat di lubuk hatinya.
” Jangan bimbang, nak. Mak akan ikhtiarkan,” jawapan itu mungkin dapat melegakan perasaan Nadia. Namun tidak perasaannya sendiri. Dia masih memikirkan bagaimana hendak mendapatkan duit untuk bayaran yuran peperiksaan anaknya.
Sepatutnya yuran peperiksaan itu sudah pun dibayar. Dan sepatutnya Nadia tidak perlu lagi risau memikirkannya. Dia boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan STPM yang akan bakal dihadapinya. Tetapi apabila Syafiq, anaknya yang bongsu diserang demam panas dan di tahan dalam wad, dia terpaksa menggunakan duit itu untuk tambang bas berulang alik ke hospital Seremban. Dan dia yakin boleh mendapatkan semula duit itu sebelum tamat tempoh bayarannya. Tetapi dia cuma boleh merancang namun Tuhan yang menentukan. Tanpa diduga musim hujan pun tiba. Hujan turun pada waktu pagi.Kadang- kadang pada sebelah petang. Ada kalanya hujan turun dari pagi hingga ke petang. Akibatnya dia tidak dapat menoreh pokok getah.
Selalunya jika hujan tidak turun, dia sudah berada dalam kebun getah selepas solat subuh. Dengan berbekalkan sebilah pisau toreh dan sebuah baldi, dia memulakan kerjanya menoreh pokok getah. Dan pada sebelah petang pula dia berada di kebun mengusahakan tanaman pokok pisang, nenas dan ubi kayu. Itulah jadual tugasnya setiap hari.
Ketika suaminya masih hidup, dia tidak sendirian mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Segalanya di kongsi bersama dengan suami. Tetapi sejak suaminya meninggal dunia setahun yang lalu, dialah yang bertanggung jawab menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak. Dialah ibu dan dialah ayah kepada tiga orang anak-anaknya.
” Kalau abang sudah tidak ada, jagalah anak-anak kita. Semoga mereka menjadi orang yang berpelajaran tinggi supaya dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara kita.” Itulah pesan arwah suaminya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Dan berjanji tidak akan menghampakan harapan suaminya. Dia juga mahu anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Malah itulah impiannya sejak anak-anak itu lahir ke dunia. Walaupun kini suaminya sudah tiada, dia berazam untuk mempastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Selagi nadinya masih berdenyut, dia akan berusaha mencari duit untuk menyekolahkan anak-anaknyaa. Dia sedar hanya ilmu pengetahuan sahaja yang boleh menjamin masa depan mereka.
” Tepung dan gula sudah habis. Apa sarapan kita pagi ini?” tanya Nadia dengan wajah sedih.
” Mak akan ke kebun menggali ubi kayu. Pagi ini kita makan rebus ubi cicah kelapa,” jawabnya sambil bersiap hendak turun dari rumah.
” Tunggulah hujan teduh, Mak,” kata Nadia pula.
” Hujan akan berterusan hingga ke petang. Percayalah…” balasnya sambil menuruni tangga rumahnya.
Dia tahu bukan tepung dan gula sahaja sudah habis. Barang-barang keperluan yang lain seperti beras, Ikan bilis, bawang, susu dan lain-lain juga sudah kehabisan. Baginya itu tidaklah merunsingkan sangat fikirannya kerana dia yakin anak-anaknya tidak akan mati kebuluran. Di kebunnya masih ada ubi kayu dan pisang untuk mengalas perut anak-anaknya. Dia juga boleh memancing ikan di sungai atau mencari pucuk -pucuk kayu untuk dimakan. Tetapi apa yang paling merunsingkan fikirannya ialah yuran peperiksaan Nadia. Jika tidak dapat dijelaskan maka anaknya tidak dapat menduduki peperiksaan.
Dia tahu anak-anaknya bercita-cita tinggi. Nadia ingin menjadi seorang doktor, Mazni pula nak jadi pensyarah manakala Syafiq pula nak jadi jurutera. Dia berdoa semoga cita-cita anak-anaknya akan tercapai. Kerana itu, Setiap kali lepas Solat dia tidak lupa berdoa semoga anak-anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah yang berjaya di dunia dan akhirat. Cuma yang selalu merunsingkan fikirannya apabila hujan turun kerana dia tidak dapat menoreh.
Hujan yang tadinya melebat kini sudah mula reda. Dia harap hujan akan berhenti. Dia gembira kerana semua anak-anaknya sudah bersarapan pagi. Rebus ubi cecah kelapa membuka selera mereka. Dia nampak Nadia sedang tekun membaca buku. Begitu juga dengan Mazni dan Syafiq. Dia mencapai parang lalu kuikatkan ke panggangnya.
” Mak nak kemana?” tanya Nadia.
” Ke rumah Pak Dolah.”
” Apa halnya mak?”
” Kabarnya Pak Dolah sedang mencari orang untuk membersihkan dusun duriannya. Mak nak jumpa dia. Nanti bolehlah bayarkan duit yuran peperiksaan kamu itu.”
” Tapi mak,” Nadia memandang wajah ibunya. ” Sekarang musim hujan. Lagipun kerja menebas tu susah. Terdaya kah emak melakukannya?”
” Insyaallah, Mak yakin boleh.”
” Nadia nak ikut sama.”
” Nadia duduk dirumah dan jaga adik-adik.”
” Baiklah Mak.”
Dengan membaca Bismillah, dia turun dari tangga rumah lalu menuju ke rumah Pak Dolah. Kebetulan Pak Dolah ada di rumah dan tanpa membuang masa dia terus menyatakan hajat kedatangannya.
” Dusun durian itu tebal semak samunnya sebab sudah lama tidak dibersihkan. Sekarang pokok-pokok durian sedang berbuah, terpaksalah aku mencari orang untuk membersihkannya,” kata-kata Pak Dolah itu membungakan harapan di hatinya.
” Saya sanggup menebasnya…” katanya seakan merayu.
” Kerja tu berat. Sanggupkah kamu melakukanya?” Pak Dolah seolah melahirkan rasa sangsinya.
” Insyaallah, saya sanggup,” Dia menjawab penuh yakin.
” Baiklah, berapa upah yang kamu minta?” pertanyaan Pak Dolah membuahkan harapan.
” Terpulang kepada budi bicara Pak Dolah. Tetapi…”
” Tetapi apa?”
” Saya memang perlukan duit untuk membayar yuran peperiksaan anak saya…”
” Dusun durian itu seluas tiga ekar. Kalau aku bayar satu ekar seratus ringgit, bagaimana?”
” Saya setuju Pak Dolah, terima kasih,” katanya dengan rasa gembira.
Pada hari itu juga dia memulakan kerja-kerja menebas anak-anak kayu yang tumbuh meliar di dusun durian Pak Dolah. Dia berazam untuk menyudahkan kerjanya secepat mungkin supaya cepat dapat bayarannya. Satu demi satu anak-anak kayu di cantasnya dengan parang panjang. Sedang dia tekun bekerja hujan turun dengan lebatnya. Namun dia terus juga bekerja walaupun seluruh pakaiannya basah kuyup. Setelah merasa letih barulah dia pulang ke rumah.
” Kenapa Mak lambat balik?. Risau kami menunggunya,” kata Nadia sebaik saja dia sampai di muka pintu rumahnya.
” Mak mencari duit untuk kamu,” jawabnya sambil menyalin pakaiannya.
” Muka Mak nampak pucat. Mak demam ke?” tanya Mazni pula.
” Mak rasa sejuk sebab kena hujan,” jawabnya sambil menyuruh Nadia mengambil segelas air suam untu memanaskan badannya.
” Mak, janganlah kerja teruk sangat. Kalau jatuh sakit bukan Mak saja yang susah, kami pun sama,” kata Nadia sambil menghulurkan segelas air suam.
Dia meneguk air suam itu namun rasa sejuk masih terasa. Kemudian Nadia menghidangkan makanan kegemarannya iaitu nasi berlaukkan gulai ikan sembilang. Tetapi entah kenapa seleranya tumpul. Cuma tiga suap sahaja yang mampu ditelannya kenmudian dia baring dan menyuruh Nadia selimutkan tubuhnya dengan gebar. Dan malam itu badannya panas. Dia menyuruh Nadia dan Mazni memicit kaki dan tangan. Entah pukul berapa baru dia terlena.
Esoknya dia dikejutkan oleh suara azan yang berkumandang dari menara masjid. Dia cuba bangun tapi kepalanya terasa sakit. Namun dia gagahkan diri untuk bangun mengerjakan solat subuh. Selepas menunaikan kewajipan itu, dia ingin menyambung tudurnya. Tetapi bila teringatkan anak-anaknya yang akan ke sekolah, dia bingkas bangun.
” Nadia tak ke sekolah hari ni?” dia bertanya kerana Nadia masih memakai pakaian sekolah.
” Mak sakit. Nadia tak sampai hati nak tinggalkan Mak sendirian,” jawab Nadia.
” Mak cuma demam sikit jer. Tak lama lagi baiklah tu. Nadia pergilah ke sekolah sebab tidak lama lagi nak periksa.”
” Baiklah, Mak,” Nadia masuk ke dalam bilik menukar pakaian sekolah.
Hari itu dia bercadang hendak berehat saja di rumah kerana berasa kurang sihat. Kepalanya sakit dan badannya panas. Tetapi baru saja hendak baring dia terdengar bunyi kereta berhenti di halaman rumah.
” Oh Pak Haji Dolah dan Mak Haji. Jemputlah naik ke rumah,” dia mempelawa tetamu yang datang naik.
” Nadia kata kamu sakit sebab itu kami datang,” kata Hajah Zainon isteri Pak Dolah.
“Sebab itulah hari ini saya tidak dapat pergi menebas. Esok saya akan sambung semula kerja itu.”
Hajah Zainon meletakkan tapak tangannya di dahi Mak Utih. Terasa panas.
” Kamu demam elok pergi ke hospital,” katanya sambil melahirkan rasa simpati.
Mak Utih tidak menjawab. Dia cuma termenung sahaja.
” Kami akan hantar kamu ke hospital,” kata Pak Haji Dolah.
” Tetapi…” dia merasa raagu-ragu.
” Kita berjiran mesti tolong menolong. Kebetulan pulak kami hendak ke pekan, boleh awak tumpang sama.”
Dia melahirkan rasa syukur kepada Allah swt dan berterima kasih kepada Haji Dolah yang baik hati. Dan esoknya dia sudah rasa sihat dan boleh meneruskan kerja membersih dusun Pak Haji Dolah. Dan petang itu apabila dia balik dari kerja Nadia menyambut kepulangannya dengan wajah gembira.
” Yuran peperiksaan Nadia sudah di bayar oleh Pak Haji Dolah,” beritahu Nadia.
” Oh Tuhan…” dia merasa amat terharu.

 

Oleh: Abdul Latip Talib

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: