Insan yang tidak cukup ilmu…..

Cetusan Idea….Berkongsi Idea… Amalkan Bersama

Sijil Untuk Abah….(Kopi Dan Pasta)

Posted by iorichee on 1 May 2009

Laman web Jabatan Perkhidmatan Awam ku tenung lama. Cursor di skrin monitor aku main-mainkan di link untuk memohon Program Ijazah Lanjutan Luar Negara. Aku memikirkan tindakan yang akan ku ambil. Sama ada mengisi borang itu atau tinggalkannya dan menganggap seolah-olah tiada apa-apa.

Keputusan SPM yang ku terima beberapa hari lepas melayakkan aku untuk memohon biasiswa ini. Namun, abah sering mematikan niatku untuk belajar di luar negara. Walhal, dia tahu betapa fanatiknya aku dengan universiti-universiti di luar negara ini.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk mengisi borang tersebut. Isi sahaja. Tak jadi hal, kan? Bukannya aku pasti akan dapat pun. Lagipun abah tak tahu…

***

“Anak kau tak mintak pergi oversea?” Aku yang sarapan dengan abah pagi itu memandang wajah lelaki yang hampir sebaya dengan abah. Mungkin dalam 50-an.

Abah hanya tersenyum memandang pak cik itu. “Tak. Kat Malaysia ni pun bagus. Banyak buruk dari yang baik belajar kat luar negara ni,” balas abah.

Aku menelan air liur. Kalaulah abah tahu yang aku mohon biasiswa JPA untuk oversea, macam manalah reaksi dia agaknya?

“Oh, betul lah tu. Oklah, kawan gerak dulu. Orang rumah tengah tunggu tu,” ujar pak cik itu sambil berlalu dengan mengangkat tangan kanannya.

Aku meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan. Wajah tua abah kupandang. Abah membuang pandang ke arah jalan raya.

“Bah,” panggilku.

Abah menoleh. “Hrm?”

Aku berfikir untuk menyusun kata. “Ina nak apply JPA oversea, boleh?” Aku cuba memancing reaksi abah.

“Tak payahlah. Buat apa kamu nak belajar jauh-jauh? Kat Malaysia ni pun dah bagus U nya. Orang luar pun datang belajar kat sini.” Kata-kata abah melumpuhkan semangatku yang berkobar-kobar untuk ke luar negara.

“Tapi bah, bila lagi nak berjalan ke negara orang? Pengalaman bah. Bukan senang nak dapat.” Aku cuba memujuk abah. Kalau berjaya, ada peluanglah aku!

Abah menggeleng-gelengkan kepala. “Ina nak tahu satu benda tak?” soal abah.

Aku mengangguk-anggukkan kepala. “Apa bah?”

“Dulu, masa Along tahun 3 dekat U, dia selalu cerita kawan-kawan dia yang balik semula ke sini.”

Aku diam tak berkutik.

“Belajar kat luar negara ni banyak masalahnya, Ina. Kita jangan fikir seronoknya. Kawan-kawan Along tu balik bukan sebab tak boleh belajar. Tapi banyak masalah lain,” jelas abah.

Hatiku memberontak mendengarkan kata-kata abah. Ah, masalah apanya? Belajar ajelah elok-elok. Jangan bila dah pergi sana, hidup pun terikut-ikut cara hidup diorang.

“Dah sudah?” soal abah bila melihatkan aku berhenti makan.

“Belum. Sekejap,” balasku. Makanan yang tinggal sedikit aku habiskan. Perbualan aku dengan abah tentang luar negara terhenti sampai di situ.

***

Aku meletakkan punggung di atas sofa di hadapan televisyen. Rancangan yang disiarkan sedikit pun tidak menarik minatku. Mak yang sedang melipat kain di sebelah kupandang.

“Mak,” panggilku perlahan. “Ina nak beritahu mak satu benda ni,” ujarku.

Tangan mak terhenti daripada melipat kain. “Apa, Ina?”

“Mak, sebenarnya Ina ada isi borang untuk mohon biasiswa ke luar negara.” Aku mengambil keputusan untuk memberitahu mak tentang tindakanku.

Wajah mak sedikit berubah. Aku tidak tahu untuk menafsir riak wajah mak. “Abah tahu tak?” soal mak.

Aku menjadi serba-salah. “Tak. Mak janganlah beritahu, ya? Ina saja je isi. Nanti kalau dapat interview baru bincang dengan abah. Janji ya, mak?” Aku memandang wajah mak dengan penuh harapan.

Lama mak terdiam. Kemudian barulah dia bersetuju. Aku tersenyum senang melihat mak. Yes!!! Mak dah setuju. Tinggal abah je. Kalau ada rezeki, dapatlah aku terbang ke negara orang!

***

Aku menghabiskan masa dengan membantu abah di kebun. Sejak abah bersara tahun lepas, abah rajin menebas kebun di belakang rumah. Hujung minggu pula kami akan ke Pahang untuk berjumpa dengan Achik yang masih belajar di Sek. Men. Teknik, Kuantan. Kadang-kadang, kami berjalan ke Melaka untuk berjumpa dengan Along.

Pendek kata, tiap-tiap minggu ada sahaja program kami sekeluarga. Abah pula memang rapat dengan kami adik beradik. Masa aku belajar di SMKA Johor Jaya pun abah dengan mak selalu datang. Pada aku, abah tak izinkan aku ke luar negara sebab jauh sangat kalau dia dengan mak nak datang. Lagipun, belanjanya mau RM2000.00++ seorang sekali pergi! Belum masuk perbelanjaan kat sana.

Telefon bimbitku di kocek sular berdering. Kerjaku yang sedang menebas rumput terhenti. Azwa. Aku menjawab panggilannya.

“Ina, kau tak dapat mana-mana offer lagi?” Azwa menyoalku di talian sebaik sahaja salamnya ku jawab.

Aku ketawa. “Banyak yang dapat. Sampai tak tahu mana nak pilih,” kataku.

“Oh, kau dapat offer mana?” Azwa dah bersemangat nak tahu.

Semakin galak ketawaku. “Aku dapat offer kolej swata. Banyak gile surat sampai kat rumah aku. Kau?”

“Ah, kau ni! Aku pun samalah! Sengaja je kau ni kan,” kata Azwa dalam nada geram.

Aku ketawa kerana dapat menyakatnya. “Kau tengah buat apa ni?” soalku.

“Aku tengah online. Eh, JPA yang untuk oversea dah keluar lah. Untuk interview. Kau dah check belum? Dapat ke tak?” Kata-kata Azwa membuatkan aku berdebar-debar ingin tahu.

“Aku kat kebunlah, yang. Nanti balik rumah aku check. Tapi, kena tunggu abah aku tak ada kat depan akulah. Dia tak tahu aku mohon. Kau dapat ke?”

“Tak. Tak ada rezekilah,” balasnya pendek.

“Oh! Ek, tak apalah. Okaylah, aku tengah tolong abah aku kat kebun ni. Nanti kalau apa-apa aku inform ek?”

“Ok.”

Sebaik sahaja mematikan talian, aku kembali meneruskan kerjaku. Jantung dah berdebar-debar nak tahu sama ada aku layak tak untuk ke tenuduga. Ya Allah, harap adalah rezeki. Amin!

Sebaik sahaja pulang dari kebun, aku ke bilik air untuk membersihkan diri. Badan yang sedikit penat terasa segar kembali. Selesai memakai baju, aku berjalan menuju ke meja komputer yang abah letak di ruang tamu. Abah masih lagi di bilik air.

Sebaik sahaja laman web JPA terpampang di dada skrin, jantungku kembali berdegup kencang. Aku memasukkan nombor kad pengenalan di ruangan kosong. Dengan lafaz bismillah, aku menekan enter.

Alhamdulillah. Itu sahaja yang mampu kuucapkan berkali-kali. Aku sudah tersenyum sampai ke telinga. Panggilan daripada abah mematikan senyumanku. Aku menjadi cuak apabila abah bertanya aku sedang buat apa.

“Ina tengah check JPA, bah.” Aku menjawab perlahan.

Abah datang mendekatiku yang tengah duduk di kerusi. “JPA? Dah keluar ke?” soal abah.

Aku menelan air liur. “Erk, Ina dapat bah. Interview. Tapi oversea.”

Wajah abah berubah riak. “Oversea?”

Aku mengangguk. “Boleh pergi interview ya, bah? Cari pengalaman.” Aku cuba memujuk abah. Kalau abah tak bagi pergi, hancurlah cita-citaku untuk ke luar negara. Kalau abah bagi…

“Pergilah. Tapi ni untuk cari pengalaman je,” balas abah. Kalau abah bagi, maknanya aku kena buat yang terbaik untuk dapatkannya. Kalau dah lepas interview, dapat, boleh aku pujuk abah nak pergi pulak! Aku dah tersenyum smpai ke telinga.

“Terima kasih abah.” Aku bangun meninggalkan komputer. Mendapatkan mak di dapur.

***

“Aku dengar, kau dapat JPA. Cikgu mohonkan ke?” Along menyoalku semasa kami ke Melaka untuk berjumpanya.

Angin laut Selat Melaka menyegarkanku. Aku memandang wajah Along yang duduk berhadapan dengan ku. “Ha’ah. Aku dapat. Aku yang mohon sendiri. Tak bagi tahu abah pun masa tu.”

Along tersengih. “Pandai ko ni, eh? Abah cakap apa? Boleh pergi?”

Aku ketawa. Lalu aku menceritakan apa yang berlaku petang itu.

“Hrm. Buatlah elok-elok. Mana tahu kalau ada rezeki. Nanti boleh pujuk abah.” Kata-kata Along menaikkan semangatku.

Aku tersenyum. “Nanti kalau dapat kau tolong pujuk abah, eh?”

Along hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Tanda bersetuju. Aku tersenyum senang.

“Interview bila? Kat mana?” soal Along lagi.

“Minggu depan. Kat KL,” balasku pendek.

***

Aku melangkah penuh debaran ke bilik temuduga. Aku cuba membina keyakinan diri. Temuduga dijalankan secara perseorangan. Ah, apa nak di takutkan? Yang menemuduga aku itu pun orang juga. Bukannya hantu!

Hampir sejam di dalam bilik temuduga, akhirnya ia berakhir juga. Aku menjawab soalan-soalan yang dikemukakan sebaik mungkin. Seminggu lamanya aku membuat sedikit kajian, akhirnya berhasil juga.

Aku berjalan mendapatkan abah yang setia menunggu di kereta sejak aku masuk ke bilik temuduga dengan senyuman. Kemudian aku mengambil tempat di sebelah abah. Mak tak ikut menghantarku. Penat katanya.

“Macam mana? Ok?” soal abah sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan.

“Oh! Ok… Boleh dapat punyalah,” balasku. Sengaja mahu melihat reaksi abah.

Abah hanya menggeleng-gelengkan kepala. “Banyak masalah belajar kat luar negara ni, Ina.”

Aku diam. Menunggu kata-kata seterusnya daripada abah. Namun, abah hanya mendiamkan diri. Hanya celoteh deejay radio yang memenuhi ruang udara di dalam kereta ini.

“Kita nak makan kat mana, bah?” soalku apabila merasakan sedikit lapar.

“Nantilah. Kita singgah kat Dengkil boleh? Dah tak jauh dah ni,” balas abah. Kereta dipandu dengan tenang.

“Bah, kenapa abah tak bagi Ina pergi oversea?” soalku. Terasa tak puas hati pula bila abah tak pernah menceritakan masalah yang sering diperkatakannya.

Abah tersenyum namun matanya masih tidak berganjak. “Kalau Ina pergi, Ina akan rasa rugi sangat. Persediaan 2 tahun. Buatnya kalau berhenti kat sana? Dah rugi masa. Balik sini, masuk tahun satu balik.Masa sekarang ni seronoklah orang cakap nak pergi luar negara. Kat sana nanti baru kita tahu masalahnya.”

Aku mengangguk tanda faham. Tapi tak semua kan yang balik? Cerita abah tak mematahkan semangatku untuk belajar di negara orang. Kalau aku dapat pergi, aku janji akan bawa balik sijil untul abah. Bukan bawa masalah.

***

Along menghubungiku malam itu. Bertanyakan tentang temudugaku pagi tadi. Aku menceritakan dari awal hingga akhir. Seronok benar dia mendengarkan ceritaku.

“Kau mintak mana?” soalnya.

Aku mintak UK. Tak kisahlah kat mana. Best sikit UK,” ujarku.

“Kalau kau dapat macam mana?”

“Pergilah. Bukan semua orang dapat tawaran ni tau!” tegasku. “Kau kan nak tolong aku pujuk abah.”

Along mengeluh. “Ina, aku rasa baik kau fikir elok-elok.”

Kata-kata Along membuatkan aku menjadi pelik. Macam mana dia boleh berubah fikiran? Sedangkan sebelum ni dia dah janji nak tolong aku pujuk abah? Kami berhenti berbual tak lama kemudian. Sebelum talian di matikan, sekali lagi dia memintaku berfikir sebelum membuat keputusan. Bila aku bertanya kenapa, dia hanya menyuruhku berfikir. Ah! Apa yang Along tengah fikirkan sekarang?

***

Hujung bulan April, Along balik ke rumah memandangkan hari Isnin cuti Hari Buruh. Lama juga dia berada di rumah. Penat bekerja barang kali. Along pun dah jarang balik ke rumah. Kalau berjumpa pun bila abah mengajak kami pergi berjumpanya.

Selepas makan malam, aku mengambil angin di laman rumah. Bintang-bintang yang berkelipan di dada langit begitu cantik sekali.

“Ina,” tegur Along lalu mengambil duduk di sebelahku.

“Hrm. Dah sudah? Mak tengah buat apa?” soalku tanpa memandang wajah Along. Mataku masih lagi pada bintang-bintang di langit.

“Mak tengah tengok TV. Ina, aku ada benda nak cakap,” ujar Along.

Aku tak memberikan apa-apa reaksi.

“Tengoklah sini. Aku nak cakap sikit,” desak Along apabila aku tidak mengendahkannya.

“Apa?” soalku malas.

Along memandangku. “Aku rasa baik kau fikirkan balik tentang JPA tu kalau kau dapat,” ujar Along.

Aku mengeluh. “Kenapa? Kau dari hari tu cakap, fikirkan-fikirkan. Mestilah aku nak pergi kalau dapat!” tegasku.

Along menggelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju denganku. “Ina, aku serba salah sebenarnya,” katanya. Aku tertanya-tanya. Serba salah?

“Abah suruh aku slow talk dengan kau. Tak payahlah pergi kalau dapat. Kau tak kesian ke dengan dia? Dia tu kan rapat dengan kita adik beradik. Kau tak tengok ke wajah dia masa aku nak pindah Melaka? Wajah dia bila Achik dapat masuk sekolah teknik? Dia termenung tau. Tapi, tak apalah. Dekat. Lagipun selalu boleh datang jumpa kalau dia rindu. Ina, kalau kau pergi UK sana macam mana dengan dia tu? Antara kita tiga beradik, kau yang paling rapat dengan dia. Tak kan kau sanggup tinggalkan dia?” panjang penjelasan Along.

Aku mendiamkan diri. Memikirkan kebenaran kata-katanya.

“Ina, kalau kau rasa kau boleh belajar kat luar negara, boleh perform, apa kata kau belajar kat Malaysia. Buat elok-elok. Dapatkan first class. Tak semestinya kau belajar kat luar negara kau dah bagus. Kat Malaysia, universiti kita pun setanding dengan universiti luar,” ujarnya lagi.

Aku mengambil kata-katanya sebagai satu cabaran. First class, eh?

“Lagi satu. Kalau kau perasanlah. Ramai pak cik-pak cik yang umur sebaya dengan abah duduk je rumah lepas pencen. Kau tahu tak, kalau diorang duduk rumah senang sakit. Sebab? Diorang tak ada life. Life abah dengan anak-anak dia. Tu yang boleh kata setiap minggu dia ajak mak jalan nak jumpa anak-anak dia. Kalau kau pergi jauh-jauh, macam mana dia nak jumpa kau.” Along mendongak ke langit. “Kau fikirkanlah apa yang aku cakap ni. Kalau kau nak buat master kat oversea aku rasa ok lagi. Setahun je. Tapi kalau degree… Baik tak payahlah. Lama. Kesian kat orang tua tu.”

Kata-kata Along membuatkan aku berfikir panjang. Tapi, macam mana dengan cita-citaku?

***

Dewan sudah di penuhi ibu bapa. Aku masih tercari-cari abah dengan mak. Tak kan mereka tak datang? Aku menghela nafas panjang. Tak lama lagi aku akan berbaris untuk masuk ke dewan. Aku memandang ke jalan raya. Mengharapkan kehadiran mereka.

Achik melambai-lambai apabila melihatku. Aku dah tersenyum sampai ke telinga. Mak dan abah berjalan bersama di belakang. Diikuti Along dan isterinya. Aku gembira tak terkata. Abah masih lagi nampak sihat walaupun umur sudah hampir mencecah 60 tahun.

“Bagi penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Kuasa, kelas pertama dipersilakan Siti Nuraina binta Jamaluddin, Cheah Bee Lay…”

Aku melangah penuh bangga ke atas pentas diiringi bunyi gamelan. Y.B. Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Zulkifli Bin Tan Sri Mohd. Ghazali, Naib Canselor U.T.M. menyampaikan sijil. Hanya aku pelajar Melayu yang berjaya mendapat kelas pertama bagi bidangku.

Kata-kata Along malam itu aku jadikan cabaran. Tak semestinya hanya dengan ke luar negara kita akan dapat yang terbaik. Di negara sendiri sudah ada yang terbaik. Setelah selesai sesi penganugerahan, aku berjumpa dengan abah dengan mak di luar Dewan Sultan Iskandar.

Aku ternampak abah memegang sejambak bunga ros di tangan. Air mataku menitis. Aku berjalan mendapatkan abah lalu tubuhnya kupeluk erat. Abah mengusap belakangku.

“Ina, hari ni hari gembira Ina. Kenapa nak menangis?” pujuknya.

Aku tertawa. “Abah, sijil degree ni untuk abah. Ina sayang abah.” Sekali lagi tubuhnya aku peluk.

Aku menangis bukan kerana sedih. Tetapi aku terharu sungguh melihat abah. Bagai terngiang-ngiang kata-kata Along malam itu di telingaku. Anak-anak adalah kehidupan abah. Dan kerana itu aku sanggup korbankan niatku untuk ke luar negara.

Surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di University of Aberdeen masih elok ku simpan walaupun sudah hampir 5 tahun. Surat itu akan ku jadikan pembakar semangat buat anak-anak ku pada masa akan datang.

Along sedang berbual-bual dengan abah dan mak. Achik dan Kak Long pun turut serta dalam perbualan mereka. Melihatkan senyuman gembira di wajah abah membuatkan aku merasa bahagia. Sesungguhnya kebahagiaan kedua ibu bapakulah cita-citaku sejak kecil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: